Terapi ketukan jari
Oleh Syadiah Iberahim
bminggu@bharian.com.my
2011/03/20
Kaedah pacu potensi diri kian diminati
KEJAYAAN tidak datang bergolek jika tanpa usaha. Namun, andai usaha masih tidak membuahkan hasil, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Silap jika ada yang menganggap kejayaan hanya berteraskan kecerdikan atau IQ semata-mata kerana tanggapan sedemikian boleh mengundang tekanan perasaan dan menjadi faktor terbesar menghalang perkembangan potensi diri individu.
Lalu apakah pilihan yang ada? Sudah pasti, ini berkait rapat dengan aspek pembangunan diri dan tidak hairanlah, semakin ramai yang tampil mendapatkan bantuan sama ada menerusi bengkel atau mengikuti kursus motivasi.
Jurulatih Program Pembangunan Diri dan Kepemimpinan Al-Qudrah Training & Consultancy, Amar Mahmood, 38, berkata stres tidak hanya mempengaruhi pembangunan diri individu, malah menjadi penghalang individu mencapai kejayaan.
“Pembangunan minda dan pembangunan emosi adalah dua elemen penting yang mendorong dan menentukan kejayaan seseorang. Selain minda, emosi turut berperanan sebagai elemen penting dalam menentukan hala tuju dan pembangunan diri. Ini yang selalu ditekankan dalam bengkel yang kami kendali bertujuan untuk melihat dan membawa kesedaran tentang pembangunan diri dalam skop yang lebih luas bukan sekadar motivasi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Penulis buku ‘Rahsia Minda Jutawan dan graduan ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), ini juga sanggup melepaskan jawatan sebagai Pengurus cawangan institusi kewangan bertaraf antarabangsa kerana mahu berkongsi minat serta ilmu berhubung pembangunan diri individu ini.
Malah beliau berasa puas apabila melihat semakin ramai yang mulai sedar kepentingan pembangunan diri yang bukannya bertumpu aspek fizikal semata-mata, tetapi menajamkan kemahiran midan.
Lebih membanggakannya, majoriti mereka yang tampil mengikuti bengkel pembangunan diri ini adalah usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi serta pekerja.
“Bengkel ini menekankan aspek ‘holistik’ iaitu pembangunan diri secara menyeluruh kerana mereka mungkin memfokus aspek motivasi dan ceramah tetapi tidak kepada latihan membimbing yang berbentuk terapi diri. Menyeluruh bermaksud mencakupi bidang kesihatan, emosi, kerjaya dan sebagainya.
“Menerusi kaedah ini, mereka akan berinteraksi dengan jurulatih dan perlu menceritakan apa sebab-sebab yang menjadi masalah kepada mereka untuk mencapai kejayaan. Jika sudah dikenal pasti, minda mereka akan diprogramkan serta pemikiran yang negatif, emosi yang risau dan takut akan di permudahkan melalui teknik yang akan digunakan,” katanya.
Salah satu teknik yang juga paling popular dalam bidang psikologi dunia, adalah Emotional Freedom Technique (EFT) dan Meridian Tapping Technique (MTT) iaitu gabungan akupuntur China dan Barat yang tidak menggunakan jarum tetapi jari.
Teknik ini dilakukan dengan melakukan ketukan jari (MTT) pada bahagian titik meridian iaitu bahagian-bahagian tertentu di dada dan muka selain melepaskan emosi menerusi ucapan kata-kata negatif yang menghalang mereka mencapai matlamat kejayaan.
“Keberkesanannya boleh dilihat serta merta atau beberapa hari jika diamalkan setiap hari kaedah ini. Dengan teknik EFT, mereka akan lepaskan kata-kata negatif yang menjadikan mereka stres yang memprogramkan semula minda. Keadaan menjadi lebih positif dan ini sendiri dinamakan pembangunan diri.
“EFT asalnya diperkenalkan bagi tujuan perubatan iaitu untuk pesakit kanser dan trauma kerana menyentuh aspek emosi dan kemudian dibangunkan untuk pembangunan diri dan skopnya sangat luas untuk sukses.”
Katanya, menerusi bengkel itu, peserta diajar secara praktikal untuk melakukan kaedah ini, termasuk ketika berdepan kesukaran.
“Di Malaysia, setakat ini tiada lagi Bumiputera yang mengajar menggunakan kaedah ini, kalau ada kosnya mungkin sangat tinggi dan menggunakan bahasa inggeris yang sukar difahami sesetengah peserta.
Berikutan bayaran pendaftaran yang tinggi untuk seminar seperti ini, beliau mengambil inisiatif untuk membangunkan kaedah ini khusus untuk golongan Bumiputera mempelajari dan mempraktikkan selain tidak perlu peruntukan yang lebih untuk mengikuti bengkel yang dianjurkannya.
“Ada seorang peserta yang juga pesakit strok. Beliau mendakwa penyakitnya kini beransur pulih hasil daripada teknik yang diamalkan ini,” katanya.
INFO: Antara teknik Al-Qudrah Training & Consultancy
No comments:
Post a Comment