Wednesday, May 26, 2010

Kekuatan Mental & Emosi Dalam Sains Sukan

Membaca artikel di bawah (sila rujuk pada artikel yang dipetik dari Sinar Harian), membuatkan saya jadi keliru dengan tahap pembangunan Sains Sukan di Malaysia. Terutama apabila ia berkaitan tentang subjek kekuatan mental dan kecerdasan emosi (EQ).

Jelas sekali seorang pakar sains sukan mempertikaikan kaedah yang dibawa dalam latihan mental yang digunakan dalam program latihan tersebut. Saya juga berpendapat kaedah melatih mental dengan aktiviti lasak atau fizikal bukan kaedah terbaik dalam bidang sukan. Ia mungkin sesuai bagi bidang yang lain.

Penggunaan kaedah stimulasi minda dan beberapa teknik kuasa minda seperti visualisasi jika diterapkan secara konsisten mampu memberi kesan yang baik. Tetapi saya tetap berpendapat bahawa faktor utama yang menghantui skuad badminton adalah masalah tekanan.

Pemain badminton Malaysia jelas mempunyai masalah BESAR dari sudut kematangan dan kecerdasan emosi (sila rujuk situasi ketidakmatangan beregu kedua Malaysia -Fairuzizuan/Zakry- yang tidak mampu mengawal emosi tertekan hingga melakukan reaksi negatif akibat provokasi penonton).

Minda & Emosi sangat berkait rapat. Kekuatan mental juga datang dari ketenangan emosi. Melatih minda perlu dengan cara yang betul. Kebanyakan latihan mental tidak perlu banyak menggunakan fizikal. Kerana ia melatih mental. Cukup berkomunikasi terus dengan Minda. Kenapa perlu banyak menggunakan fizikal atau deria untuk berkomunikasi?

Selain itu, kekuatan emosi sangat perlu diselaraskan. Saya kurang setuju dengan kenyataan bahawa IQ adalah punca skuad badminton. Walaupun kita perlu seorang atlet yang intektual tetapi fakta tidak menunjukan data untuk menyokong kenyataan tersebut. Strategi bukan isunya. Malaysia kalah seawal sebelum strategi.

Lihat wajah dan cara mereka bermain seawal pemainan. Kita tahu mereka kalah pada tekanan dan rendahnya kekuatan emosi. Masalah utama kita adalah dalam masalah psikologi. Maka ia perlu diatasi dengan gaya psikologi. Walau sekuat manapun latihan fizikal dan strategi digunakan tetapi jika masalah psikologi tidak diatasi kita tidak akan mampu melahirkan seorang atlet seperti Lin Dan.

Lihat bagaimana Ching Wei kalah setiap kali seluruh Malaysia memberi tumpuan dan harapan (Baca : Tekanan). Jangan sebut tentang pemain yang lain pula..


_____________________________________________________________
Pemain negara perlukan ujian IQ
Kuala Lumpur- Seorang pakar Sains Sukan mendakwa bentuk latihan mental yang diterapkan kepada pemain badminton negara tidak sesuai dan menjadi punca utama kegagalan skuad lelaki Malaysia mara ke saingan akhir Piala Thomas.

Bekas pengerusi Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad berkata berdasarkan pemerhatiannya, latihan mental yang diterapkan kepada skuad kebangsaan lebih kepada aktiviti 'fizikal' untuk menguatkan mental.

“Saya lihat latihan kekuatan mental skuad kebangsaan seperti latihan berjemur di tengah panas, konon untuk menguji kekuatan mental, lebih sesuai bagi anggota tentera sahaja. “Bagi pemain badminton, kita tidak boleh terapkan latihan kesakitan fizikal untuk tingkatkan kekuatan mental. Pendekatan bagi atlet berbeza,” katanya.

Sheikh Kamaruddin yang berpengalaman selama 30 tahun sebagi saintis sukan dan kini mengajar Sains Sukan Di UPM berkata, latihan mental khusus bagi pemain badminton ialah melalui latihan menguji seperti latihan IQ dan EQ.

Latihan IQ dan EQ yang bertujuan mengukur ketajaman fikiran, mampu melatih atlet untuk memfokus minda masing-masing apabila berhadapan lawan di dalam gelanggang, katanya.

Beliau berkata tanpa mental yang sentiasa diasah supaya sentiasa cerdas, gerakan fizikal pemain juga akan lambat ketika memberikan tindakbalas. “Pelbagai jenis latihan IQ dan EQ boleh dipaktikkan oleh pemain. Tujuannya bagi menguatkan dan menajamkan minda pemain supaya lebih fokus. Contohnya tahu strategi lawan, ke manakah lawan akan menghantar bulu tangkisnya serta ke mana pula kita hendak menghantar bulu tangkis bagi mematikan lawan,” katanya.

Beliau mengakui faktor utama yang mengpengaruhi IQ dan EQ pemain ialah emosi pemain itu sendiri. “Kecelaruan minda ini akan menyebabkan Chong Wei hilang fokus dan strategi perlawanan yang diatur awal, tidak akan menjadi.

Beliau berkata cara terbaik bagi pemain badminton menguatkan mental ialah dengan cara mengosongkan minda sebelum perlawanan dan hanya fokus kepada strategi perlawanan yang diatur bersama jurulatih.

“Pakar psikologi yang ditugaskan menjaga dan menguatkan mental pemain juga haruslah seorang yang 'berkuasa' untuk mempengaruhi emosi atlet agar fokus kepada perlawanan tersebut.-Bernama

Sumber: Sinar Harian (26 Mei 2010)

No comments:

Post a Comment

Jemputan Program Latihan

Bagi Tuan/Puan yang berminat untuk menjemput saudara Amar Mahmood ke program atau sebarang aktiviti latihan bagi Organisasi dan kumpulan tertentu, Tuan/Puan boleh menghubungi nombor berikut : 012-6990793 atau email terus ke email beliau : amar_sukses@yahoo.com

Sekian, Terima Kasih
Admin