Tuesday, October 5, 2010

Mekanik Kuantum

Oleh: Shahidan Radiman

Mekanik kuantum merupakan bidang fizik yang paling hampir dengan realiti. Teori Kuantum yang ditemui pada awal kurun ke-20 telah menjadi titik tolak terhadap teori-teori daya asas, seperti teori elektro-lemah (elektrodinamik) dan daya kuat (kromodinamik), dan mungkin juga teori graviti.

Beberapa aspek Mekanik kuantum agak berlawanan dengan intuisi contohnya, boleh berlakunya penerowongan, keruntuhan fungsi gelombang (atau kebarangkalian) dan percampuran keadaan-eigen (kebarangkalian) secara linear. Jika difikirkan secara mendalam, tidak ada sebab asas mengapa semua aspek ini boleh diterima, namun di dapati sesuai dengan hukum alam dan kejadian peristiwa contohnya, tekal dengan hukum-hukum fizik yang lain).

Tulisan ini cuba melihat Mekanik kuantum dalam kerangka metafizik. Ini diperkuatkan oleh premis bahawa alam fizikal sendiri terbenam dalam alam metafizik (alam ghaib). Oleh itu, boleh dikatakan bahawa Teori Mekanik kuantum dan alam fizik itu sendiri berada dalam satu manifold teori dan alam yang lebih rumit yang topologinya masih belum diketahui.[1]

Beberapa kesamaan di antara aspek Mekanik kuantum dengan bidang kesufian ditinjau dan didapati terdapat beberapa keselarasan. Dari segi penerimaan umum pula, tafsiran Copenhagen terhadap Mekanik kuantum yang paling ramai pengikutnya walaupun tafsiran yang lebih ‘keislaman’ seperti teori banyak-alam (many worlds) yang diutarakan oleh Wheeler dan tafsiran Bohm semakin mendapat perhatian sekarang. Khasnya, tafsiran Bohm yang dapat mengatasi masalah ‘pengukuran’ dan ‘keruntuhan fungsi gelombang’.

Di samping itu, terdapat dua aliran pemikiran Mekanik kuantum sekarang iaitu (1) yang menerima kelokalan dan menolak realisme, dan aliran satu lagi (2) yang menerima realisme dan menolak kelokalan. Jelas, bahawa aliran yang menerima realisme dan menolak kelokalan lebih hampir dengan pandangan tauhid malah nampaknya aliran ini semakin rancak diterokai dalam bentuk daya asas sebagai mod-mod getaran supertali dan supermembran.

Topologi Alam Semesta
Menurut Abu Yazid al-Bistami (seorang tokoh agung sufi), terdapat 18,000 alam lain yang wujud di alam semesta ini. Mungkinkah ini sebahagian daripada manifold Calabi-Yau yang dianggarkan berjumlah di sekitar 25,000 bilangannya dan tidak semua bersesuaian dengan hasil darab kumpulan yang tekal dengan teori supertali Green dan Schwarz itu? Namun, ini tekal dengan tafsiran Mekanik kuantum Wheeler.

Diriwayatkan juga bahawa Abu Yazid al-Bistami sendiri boleh ‘berpecah’ kepada 25,000 iaitu beliau pernah dilaporkan berada di 25,000 tempat dalam sesuatu masa. ‘Pengklonan diri’ ini bermakna pemecahan fungsi gelombang boleh dilaksanakan seperti yang boleh dibuktikan secara ujikaji fizik, malah satu fonomena kebalikan ‘penyatuan diri’, contohnya penyatuan fungsi-fungsi gelombang berlaku dalam pembentukan kondensasi Bose-Einstein yang berlaku pada suhu hampir sifar Kelvin.

Banyak riwayat tentang kekeramatan ahli-ahli sufi ini yang boleh memendekkan masa dan menerowong ke tempat yang jauh dengan sekelip mata, satu perkara yang tidak mustahil seperti yang diberitakan oleh al-Quran tentang jin (apatah lagi manusia) dan sebahagian huraian ini terdapat dalam kitab al-Hikam hasil nukilan Ibnu ‘Ata’illah al-Iskandari dan Risalah al-Qushairiyah; dua buah kitab tasauf yang sudah lama diajar dan ditelaah oleh pelbagai pondok dan pesantren di Nusantara.

Dalam Mekanik kuantum, jelas bahawa ‘penerowongan’ oleh jirim di benarkan malah kekeramatan yang dikaitkan dengan perjalanan melebihi kelajuan cahaya sekarang menjadi kajian yang sangat rancak di kalangan ahli fizik sub-bidang fizik tachyon dan isyarat superluminal.[2]

Kewujudan Jirim Secara Ex-Nihilo
Sebelum wujudnya teori Mekanik kuantum, sukar untuk ahli fizik moden menerima hakikat bahawa sesuatu jirim boleh diwujudkan daripada ‘tiada’ walaupun Einstein sudah membuktikan bahawa jisim=tenaga (E=mc²). Apabila teori Mekanik kuantum sudah begitu pesat diterima oleh komuniti ahli-ahli fizik, teori ini digunakan untuk mengkuantumkan Alam Semesta (dalam bentuk persamaan De Witt-Wheeler) dan dikaji secara mendalam oleh Hawking dan Hartle dan lain-lain yang membenarkan kewujudan alam semesta ini daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’ melalui proses ‘penerowongan’ (atau fluktuasi vakum).
Teori Mekanik kuantum juga mengandaikan satu skala Planck di mana teori ini tidak boleh digunakan lagi. Ini mencetuskan bidang Fizik Skala Planck yang diterokai oleh Finkelstein di Desert Institute, Nevada, USA. Skala yang sangat kecil ini pun mempunyai ‘zarah’ dan dipanggil oleh Ibnu ‘Arabi sebagai al-Haya – satu jirim asas di alam Malakut yang boleh digunakan oleh para wali Allah yang dibenarkan oleh Allah Ta‘ala untuk membuat sesuatu jirim dengan isim ‘Kun Fayakun’. Proses kejadian alam semesta selepas berlakunya Letupan Besar (daripada ‘tiada’) mengambil enam peringkat seperti yang dijelaskan dalam al-Quran.

Sifat Temporal (Kesementaraan) Alam Ini
Segala sesuatu dalam alam ini mengikuti Hukum Termodinamik Kedua iaitu entropi akan terus bertambah nilainya. Ini bermakna bahawa alam semesta akan menjadi lebih kalut (chaotic) dan tidak teratur yang akhirnya mengakibatkan kehancurannya (kiamat). Tetapi, jika dilihat ada skala kosmologi pula keakhiran alam semesta ini boleh berlaku begitu mudah (dalam sekelip mata sahaja atau lebih cepat seperti dijelaskan yang dijelaskan dalam al-Quran) dan secara teori Mekanik kuantum ini boleh berlaku secara ‘runtuhan fungsi gelombang’.

Namun, jika kita lihat secara mikroskopik iaitu dari satu galaksi ke satu galaksi yang lain maka termodinamik yang diikuti oleh setiap galaksi adalah tak songsang (irreversible), kehabisan (dissipative) dan tidak seimbang (non-equilibrium). Kekompleksan ini ditambah lagi oleh kewujudan rejim-rejim pergerakan zarah yang boleh diramal (predictable) dan yang tidak boleh diramal (chaotic).

Jadi sudah pastinya qada’ dan qadar itu merupakan satu mainan (interplay) di antara rejim-rejim itu dengan sifat termodinamik tadi dan keruntuhan fungsi gelombang alam semesta ini hanya akan dapat difahami jika teori graviti itu sendiri dapat dikuantumkan. Namun percubaan untuk mengkuantumkan graviti sehingga kini masih belum dapat dilakukan oleh ahli fizik teori.

Kemungkinan besar masalah pengkuantuman graviti ini boleh diselesaikan melalui teori supertali dan supermembran di masa yang terdekat.
Dilihat dari segi mikroskopik supertali dan supermembran itu sendiri merupakan mod-mod geteran tenaga (dalam pelbagai dimensi) dan ini mengingatkan kita tentang “semua yang di langit dan di bumi berzikir kepada Allah Ta‘ala” (al-Quran).

Biologi Kuantum
Biologi kuantum diasaskan kepada premis bahawa asas-asas Mekanik kuantum yang digunakan dalam bidang elektronik seperti kumpulan beratus-ratus cawang Josephson (Josephson junction) boleh mewakili simulasi sel-sel dalam makhluk bernyawa. Dari segi kajian dinamik, khasnya sains neuron memang telah ditemui beberapa fenomena yang bersifat kuantum seperti soliton Davydov dan lain-lain fenomena angkutan seperti yang ditunjukkan oleh kromofor dalam memindahkan tenaga suria kepada sel klorofil.
Namun, yang menjadi masalah pada skala besar ini (saiz sel bersamaan beberapa mikron atau mm) dibandingkan dengan nanozarah ialah kekeruan fungsi gelombang yang sukar dikawal dan oleh itu kesan kuantum yang diharapkan. Tetapi, ramai ahli sains masih optimistik bahawa mungkin ada kaedah kuantum tertentu yang boleh menghuraikan, bukan sahaja penerowongan zarah alfa daripada nukleus, tetapi juga daripada tisu dan seterusnya manusia daripada matriks ruang-masa.

Manusia Sebagai Kosmos
Bahawa manusia itu merupakan satu alam yang tersendiri dan penuh misteri diakui oleh ahli-ahli sufi, khasnya Ibn ’Arabi yang menyatakan bahawa manusia ialah mikrokosmos. Hubungan badan dengan ruh dan bagaimana ruh dapat mengenal Yang Esa dan lelaran ruh dengan Nur Ilahi yang dikatakan sebagai memenuhi ruang langit dan bumi (dalam al-Qur’an) menunjukkan betapa kosmos diri ini begitu misteri sekali! Oleh itu, jika manusia mengenali dirinya, maka baru dia akan mengenali Tuhannya.
Sebagaimana kita dapati sukar untuk mengkaji antaramuka (interface) di antara badan dengan ruh, maka begitu juga pengkaji bidang mekanik kuantum mendapati sukar untuk memformulasikan kesan pencerap yang berfikir dengan proses pengukuran! (Apakah peranan kesedaran minda (consciousness) dalam proses pengukuran dalam mekanik kuantum?). Malah, masalah kedualan (duality) antara jirim dan gelombang dalam mekanik kuantum masih belum selesai sehingga dicadangkan dinyahkan saja kedualan ini sebagai simpleks gelombang.[3]

Masa dan Anak Panah Masa
Masa merupakan faktor penting dalam kehidupan manusia. Operator songsangan masa menjadi faktor penting dalam Teorem CPT (konjugasi casa x pariti x songsangan masa) malah melahirkan konsep keseimbangan terperinci (detailed balance) dalam semua tindakbalas fizik. Namun, hari ini, ramai ahli fizik masih menganggap bahawa masa itu masih misteri. Contohnya masa khayal (imaginary time) digunakan dalam pengiraan banyak masalah. Mekanik kuantum sehingga menghasilkan kebarangkalian negatif (yang hanya diterima oleh Feynman dan beberapa ahli fizik teori sahaja).
Oleh itu, ada percubaan yang bersungguh-sungguh dari beberapa kumpulan ahli fizik teori yang tidak mengistimewakan masa dalam pengiraan. Masa dianggap sebagai salah stu dimensi ruang tambahan. Bagi ahli sufi yang memiliki kekeramatan, mereka sudah mencapai apa yang sangan diangankan oleh ahli sains fiksi Barat, iaitu perjalanan masa (time travel), sama ada pada zaman dulu atau zaman akan datang.
Kononnya, ini boleh dilakukan melalui sesuatu lubang cacing (wormhole) yang mengaitkan satu alam semesta sekarang (katakan lubang putih [white hole]) dengan satu alam semesta akan datang (katakan lubang hitam [ black hole]). Malah, dalam penemuan teori terkini, lubang cacing ini tidak diperlukan lagi jika teleportasi (quantum teleportation) boleh dibuktikan boleh berlaku.

Kesimpulan
Jelas, bahawa terdapat beberapa kesepadanan di antara ilmu yang diterokai oleh ahli fizik moden, iaitu mekanik kuantum, dengan ilmu yang diterokai oleh ahli sufi Islam. Ini disebabkan di peringkat metafizik, tujuan sebenar kedua-dua kumpulan itu ialah untuk mengenal dan menghuraikan hakikakat Realiti. Dan, di sebalik Realiti itu ialah Rabb (Tuhan) itu sendiri.

Nota: Dr. Shahidan Radiman merupakan professor di Jabatan Sains Nuklear, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebelum ini, beliau sebelum pernah diwawancarai menerusi Kita berada pada sempadan sains!. Kajian beliau ketika ini banyak menjurus kepada penyelidikan dalam nanoteknologi dan biofizik.

No comments:

Post a Comment

Jemputan Program Latihan

Bagi Tuan/Puan yang berminat untuk menjemput saudara Amar Mahmood ke program atau sebarang aktiviti latihan bagi Organisasi dan kumpulan tertentu, Tuan/Puan boleh menghubungi nombor berikut : 012-6990793 atau email terus ke email beliau : amar_sukses@yahoo.com

Sekian, Terima Kasih
Admin